Support my blog by clicking the Ads, TQ

TANGAN YANG MEMBERI LEBIH MULIA DARIPADA TANGAN YANG MENERIMA. SEKECIL MANA SUMBANGAN YANG DI HULURKAN, IA CUKUP BERMAKNA KEPADA SI PENERIMA YANG HIDUP SERBA KEKURANGAN, MALAH ‘BUAH TANGAN’ YANG TIDAK SEBERAPA ITU MAMPU MENERBITKAN SENYUMAN, WALAUPUN CUMA UNTUK SEKETIKA

Search This Blog

ISU PENGGUNAAN GELATIN BABI DALAM UBAT-UBATAN

Sunday, December 18, 2011

As Salam,
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-8 pada 24 September 1984 berpandangan bahawa penggunaan gelatin dalam ubat pada masa sekarang (1984) adalah diharuskan kerana darurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidaklah lagi diharuskan.
 
  Fatwa ini tidak menjelaskan secara spesifik jenis gelatin yang
dimaksudkan, oleh itu saya membuat kesimpulan bahawa gelatin yang dimaksudkan didalam fatwa ini ialah gelatin yang dihasilkan
daripada sumber haram sama ada babi ataupun haiwan yang tidak
disembelih secara Islam. Tetapi, selepas 26 tahun fatwa ini dikeluarkan, adakah penggunaan gelatin dari bahan haram masih lagi diharuskan? atau penggunaan gelatin dari bahan haram tidak lagi diharuskan pada masa sekarang kerana telah terdapat bekalan gelatin halal yang dihasil daripada sayuran ataupun haiwan yang disembelih mengikut kaedah Islam.
 
  Meskipun ramai umat Islam terutamanya dari negara-negara asia yang majoriti rakyatnya beragama Islam berpegang kepada pendapat bahawa gelatin daripada babi ataupun haiwan yang tidak disembelih mengikut Islam adalah haram, namun terdapat sebahagian ulama yang berpandangan sebaliknya. Mereka berpandangan bahawa gelatin yang terhasil daripada transformasi tulang, kulit dan tendon (otot) haiwan yang diharamkan adalah suci dan diharuskan memakannya.

Transformasi ini ataupun disebut sebagai istihala di dalam bahasa
arab bermaksud perubahan sesuatu bahan kepada bahan yang lain dan mempunyai ciri ciri yang berbeza, perubahan bahan-bahan yang
asalnya tidak suci menjadi suci, dan perubahan sesuatu bahan yang
diharamkan kepada halal.

  Perkara ini telah diputuskan semasa 'Seminar Bahan Haram di dalam Ubat dan Makanan' yang dianjurkan oleh Pertubuhan Sains Perubatan Islam di Kuwait pada tahun 1995. Seminar ini telah dihadiri oleh 112 ulama dan pakar dari beberapa negara di antaranya Sheikh Dr Mohammad Sayed Tantawai (Mufti Mesir), Sheikh Mohammad Al Mokhtar Al Salami (Mufti Tunisia), Sheikh Mohammad Ben Hammad Al Khalily (Mufti Oman) dan Dr. Youssef Al Qardawy, Pengarah Pusat Kajian Sunnah dan Cara Hidup Nabi di Qatar pada masa itu.

Pandangan ini telah melegakan ramai umat Islam yang sebelum ini
merasa berdosa, bersalah atau tidak tenteram apabila mengambil ubat dalam bentuk kapsul gelatin.

  Walaubagaimanapun, Dr Su'aad Salih, Professor Fekah di Universiti Al-Azhar mengeluarkan fatwa bahawa :

"Gelatin adalah bahan kasar yang dihasilkan dengan mendidihkan
tulang, kulit dan tisu haiwan. Oleh itu, ia bergantung kepada jenis
haiwan tersebut. Jika haiwan tersebut dagingnya halal dimakan
seperti lembu, unta, kambing dan lain-lain, makan gelatinnya adalah
halal, dan begitu juga dengan makanan yang mengandunginya.
Bagaimanapun, jika haiwan tersebut dagingnya haram dimakan seperti babi, maka gelatin yang dihasilkan daripadanya adalah haram".

  Oleh itu, gelatin adalah halal kecuali ia dihasilkan daripada binatang yang dagingnya haram dimakan. Hukum ini digunapakai untuk gelatin yang dihasilkan daripada haiwan. Gelatin yang dihasilkan daripada sayuran ataupun sintetik adalah halal dan boleh dimakan atau digunakan.

  Mengenai  gelatin yang dihasilkan daripada haiwan yang tidak
disembelih mengikut syariat Islam, Sheikh Abdus Sattar F. Saeed,
Profesor Tafsir Qur'an di Universiti Al-Azhar memberikan fatwa
berikut:

"Jika haiwan itu disembelih oleh salah seorang Ahli Kitab, ataupun
penyembelihnya tidak diketahui, daging dan gelatinnya adalah halal.
Bagaimanapun, jika haiwan itu disembelih dengan kaedah kejutan
elektrik, dilemaskan, atau dengan cara lain yang tidak dibenarkan,
maka dagingnya adalah haram dan gelatinnya pun haram kerana ia
adalah hasil daripada haiwan yang haram"

  Dengan peningkatan kesedaran dan sensitiviti umat Islam tentang
status halal gelatin yang terkandung di dalam ubat, Kementerian
Kesihatan Malaysia menerusi Biro Pengawalan Farmaseutikal
Kebangsaan (BPFK) telah mengarahkan syarikat syarikat farmaseutikal yang bertanggungjawab untuk mengisytiharkan dan menyatakan pada label ubat mereka jenis gelatin ataupun sumber haiwan yang digunakan.
 
  Pada November 2009, satu kajian hasil usahasama Universiti Sains
Malaysia
(USM) dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Gam Lay Harn mendapati 30% daripada 100 kapsul ubat yang diuji mengandungi gelatin dari babi ataupun campuran gelatin lembu dan babi.

  Menurut Dekan Pusat Pengajian Farmasi USM, Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman " Gelatin dari khinzir (babi) digunakan kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu. Bagaimana pun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan".

  Walau bagaimanapun, sehingga kini belum ada senarai ubat-ubatan
yang mengandungi gelatin babi yang dikeluarkan secara rasmi sama
ada dari pihak universiti, Kementerian Kesihatan Malaysia,
Indonesia mahupun Brunei. Ini mungkin kerana, kaedah pengesanan
gelatin ataupun sumber haiwan di dalam ubat masih dalam peringkat
penyelidikan dan pembangunan, serta ujian pengesahan seterusnya
perlu dilakukan.

  Kemudian pada April 2010, umat Islam di Malaysia telah dikejutkan lagi dengan pendedahan oleh Datuk Mohd Hanafiah Omar yang tidak berpuas hati apabila menerima ubat Imodium (Loperamide) dalam bentuk kapsul dari sebuah hospital swasta tanpa memaklumkan ia mengandungi gelatin babi. Lantaran itu, BPFK telah mengarahkan syarikat pemegang pendaftaran ubat cirit birit Kapsul Imodium yang disahkan mengandungi unsur babi supaya menarik balik produk itu dari pasaran.

  Realitinya, ramai umat Islam di Malaysia yang masih keliru dengan
penjualan ubat-ubatan yang mengandungi unsur babi. Ubat-ubatan yang mengandungi gelatin babi adalah haram di sisi Islam tetapi
penjualannya adalah dibenarkan di Malaysia jika ia menepati syarat-syarat pendaftaran yang ditetapkan terutama dari segi kualiti, selamat dan label produk yang menyatakan jenis sumber haiwan yang digunakan. Ini membolehkan mereka yang bukan beragama
Islam menggunakannya ataupun boleh digunakan oleh umat Islam dalam keadaan yang memenuhi syarat-syarat darurat. Inilah yang seharusnya difahami oleh kebanyakan masyarakat di Malaysia.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab pengamal perubatan untuk
memaklumkan kepada pesakit sekiranya ubat yang diberikan
mengandungi sumber babi, dan menjadi tanggungjawab pesakit pula
untuk meneliti dan membaca label kandungan ubat-ubatan yang mereka ambil.

=====================================================
Artikel di atas dipetik daripada Bab 12 Fatwa-Fatwa Perubatan yang
terkandung di dalam buku Ubat Daripada Sumber Babi dan Pilihan
Alternatif.
=====================================================

0 Comments:

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...