Support my blog by clicking the Ads, TQ

TANGAN YANG MEMBERI LEBIH MULIA DARIPADA TANGAN YANG MENERIMA. SEKECIL MANA SUMBANGAN YANG DI HULURKAN, IA CUKUP BERMAKNA KEPADA SI PENERIMA YANG HIDUP SERBA KEKURANGAN, MALAH ‘BUAH TANGAN’ YANG TIDAK SEBERAPA ITU MAMPU MENERBITKAN SENYUMAN, WALAUPUN CUMA UNTUK SEKETIKA

Search This Blog

Adakah anda tidak pasti kerjaya apakah yang sesuai dengan kehendak dan personaliti anda?

Friday, June 17, 2011




Ataupun anda merasakan bahawa pekerjaan yang anda lakukan tidak serasi dengan anda dan kerjaya tersebut sebenarnya bukan yang anda impi-impikan selama ini?

Jika anda berada dalam dilema untuk memilih, UJIAN APTITUD mungkin boleh memberikan jawapan kepada soalan-soalan yang sedang anda cari selama ini.

UJIAN APTITUD bertujuan untuk memberikan panduan kepada sesiapa sahaja yang ingin berjaya dalam karier masing-masing. UJIAN APTITUD dapat membantu anda menilai kebolehan diri anda dan seterusnya mentafsir bidang yang sesuai dengan kebolehan dan tahap pemikiran anda.

Tidak kira apa jua sebab anda mencuba UJIAN APTITUD, ujian ini akan membantu anda membuat keputusan yang lebih baik tentang masa depan karier anda dan seterusnya hala tuju hidup anda!

Sekarang ini, kita banyak mendengar cerita tentang kebanyakan remaja atau graduan yang bekerja tetapi apabila ditanya tentang pilihan mereka, mereka hanya menjawab, "Saya hanya mendapat kerja ni. Jadi, saya kerja saja dulu, lebih baik daripada tidak dapat bekerja langsung…". Fenomena ini agak menyedihkan. Sekiranya anda tidak melakukan pekerjaan yang anda minati, anda tidak mungkin berpeluang untuk mengeksploitasikan kebolehan anda. Hal ini juga satu ‘pembaziran’ sumber manusia dan boleh mengakibatkan rasa kekosongan dan kekecewaan pada diri anda.

Kebanyakan individu akan cenderung untuk memilih pekerjaan yang menawarkan gaji yang tinggi atau bekerja di syarikat yang lebih stabil sebagai pengisian untuk jangka masa pendek. Namun, yang membimbangkan kesannya untuk jangka masa yang panjang. Bayangkan anda terpaksa melakukan kerja yang tidak anda sukai untuk bertahun-tahun lamanya!

Terdapat dua perkara penting yang harus anda ketahui sebelum anda memilih sesuatu kerjaya.

1. Anda harus mengenali diri anda sendiri.
2. Anda harus mengetahui peluang yang ada untuk anda di luar sana.
Kerjaya yang sesuai untuk orang lain mungkin tidak sesuai dengan diri anda. Jadi, inilah masa untuk anda membuat keputusan dengan menilai diri anda sendiri daripada segi kebolehan dan keinginan anda.
UJIAN APTITUD dapat membantu anda merancang kerjaya anda secara teratur. Semua ujian yang disediakan dapat memberikan panduan berkaitan kerjaya yang sesuai untuk anda, iaitu:
1. Mampu menyerlahkan kebolehana dan kekuatan diri anda
2. Sesuai dengan perlakuan dan cara hidup anda (personaliti)
3. Apa yang dapat merangsang pemikiran dan minat anda (motivasi)


Aspek Kebolehan
Perkara yang perlu dikenal pasti adalah mengenali diri anda yang sebenar. Anda perlu mengetahui kebolehan anda dan perkara yang dapat dilakukan untuk menggunakan kebolehan anda secara maksimum.
Sekiranya anda sedang melakukan pekerjaan yang tidak anda minati, kebolehan sebenar anda tidak dapat digunakan dengan sebaik mungkin. Hal ini mungkin menghalang majikan anda untuk mendapat gambaran yang sebenar tentang prestasi kerja anda. 

Oleh itu, untuk mengenal pasti kekuatan diri anda, anda harus menjalani Ujian Kebolehan. Ujian Kebolehan ini bertujuan untuk mengenal pasti kebolehan yang tidak semestinya lahir daripada pembelajaran dan pengetahuan. Ujian yang diberi akan menguji tahap anda memahami dan menyelesaikan sesuatu perkara atau masalah dalam tugasan seharian.

Fail pdf Ujian Kebolehan boleh dimuat turun di Ruangan Muat Turun. Sila klik di sini.

Aspek Personaliti
Fitrah perlakuan manusia ialah kemampuan untuk menyesuaikan diri dalam apa-apa jua keadaan (fleksibel). Atas alasan inilah kebanyakan orang dapat melakukan kerja yang tidak disukai oleh mereka selama bertahun-tahun lamanya. 

Majoriti majikan sekarang amat menitikberatkan kesesuaian peribadi pekerja dengan tugasan yang akan dilakukan. Oleh itu, banyak syarikat memerlukan anda untuk membuat ujian penilaian dahulu sebelum memulakan temu duga kerana perkara ini sediki sebanyak dapat memberikan gambaran yang sebenar tentang diri anda sama ada terdapat kesesuaian atau tidak dengan jawatan yang ditawarkan. 

Jika seseorang pekerja itu tidak berminat akan kerja yang dilakukan, secara tidak langsung, produktiviti syarikat akan terjejas. Oleh itu, keserasian personaliti seseorang pekerja dan tugas amat penting.

Ujian Personaliti akan menganalisa pemikiran, perasaan dan perlakuan anda. Dengan itu, anda harus menjawab semua soalan dengan jujur dan fikiran yang terbuka untuk mendapatkan takrifan yang tepat tentang personaliti anda.

Ujian Personaliti adalah berbeza dengan Ujian Kebolehan kerana tiada jawapan yang betul atau salah. Apapun jawapan yang anda berikan adalah datang dari dalam diri anda sendiri. Takrifan daripada keputusan ujian akan memberi anda panduan tentang kerjaya yang sesuai dengan diri anda.

Fail pdf Ujian Personaliti boleh dimuat turun di Ruangan Muat Turun. Sila klik di sini.

Aspek Motivasi
Jika anda bertanya kepada seseorang tentang perkara yang mereka minati, mereka mungkin dapat memberikan jawapan kepada anda tanpa berfikir panjang. Hakikatnya perkara itu tidak semudah yang difikirkan. Kebanyakan orang tidak pasti apa yang dapat dilakukan oleh mereka dan peluang yang ada untuk mereka. Sesetengah individu mengimpikan satu perkara yang tidak mungkin dicapai. Jadi, untuk memastikan anda mencapai impian anda, anda perlu membuat Ujian Motivasi.

Ujian Motivasi akan membantu anda mengenal pasti silap anda dalam memilih cita-cita. Kebanyakan remaja mendapat motivasi daripada orang di sekeliling, mentor dan keluarga sendiri. Sebagai contoh, jika ditanya soalan yang berkaitan cita-cita kepada remaja yang ayahnya seorang doktor yang berjaya, besar kemungkinan jawapannya adalah untuk menjadi seorang doktor. Persoalannya, adakah kerja sebagai doktor itu sesuai dengan kebolehan dan personalitinya? 

Tidak kurang juga, ada yang berpendapat bahawa jika diberikan peluang, mereka dapat membuat keputusan yang lebih baik daripada seseorang ahli politik, dapat menyanyi lebih baik daripada penyanyi terkenal dan sebagainya. Namun, perkara yang paling utama sekarang adalah untuk mengetahui minat anda dan mengenal pasti sama ada minat itu dapat memberi anda kepuasan untuk jangka masa yang panjang.

Ujian Motivasi adalah mudah. Anda hanya perlu memilih jenis pekerjaan yang anda suka lakukan daripada dua pilihan. Anda juga harus membayangkan pekerjaan itu dan bertanya pada diri anda sendiri sama ada tugasan yang perlu dilakukan bersesuaian dengan jiwa anda. 

Jika semua aspek tentang perkara ini digabungkan, ini dapat memberikan gambaran tentang sejauh mana anda akan berjaya dalam sesuatu bidang sekiranya anda berusaha dengan gigih.

Fail pdf Ujian Motivasi boleh dimuat turun di Ruangan Muat Turun. Sila klik di sini.

Adakah wujud faktor-faktor yang tidak dapat diukur?
Jawapannya, ya. Pertama, ada beberapa jenis pekerjaan yang memerlukan ciri-ciri fizikal yang mungkin tiada dalam diri anda. Kedua, halangan daripada segi kelayakan akademik. Jika minat anda menjurus kepada bidang perubatan, tetapi anda tidak mempunyai kelayakan akademik untuk menjadi seorang doktor ataupun jururawat, sudah tentu amat sukar untuk merealisasikan impian anda. 

Jadi, UJIAN APTITUD hanyalah sebagai panduan untuk anda mengenal pasti kebolehan anda untuk disesuaikan dengan kerjaya yang anda minati. Ujian ini juga dapat membantu anda membuat keputusan sama ada kerjaya anda sekarang sesuai atau tidak dengan diri anda. 

Terdapat tiga set ujian, iaitu:
Ujian Kebolehan – Ujian 1 hingga Ujian 7
Ujian Personaliti – Bahagian 1 dan 2
Ujian Motivasi – Bahagian 1
Anda harus menjawab kesemua soalan yang dikemukakan untuk mendapat penilaian yang sebenar tentang kebolehan, personaliti dan motivasi yang anda miliki. Selamat mencuba!

Artikel di atas dipetik daripada buku Ujian Aptitud: Tentukan Kerjaya Anda. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati dengan menghubungi Cik Nor di talian 03-9019 5303 atau melayari web kami di www.books.perintis.com.my.

0 Comments:

Web Pages referring to this page
Link to this page and get a link back!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...